Kisah Alkitab dari Kejadian hingga Wahyu, oleh Gustave Doré
Keangkuhan boleh menguasai seluruh diri kita. Apabila hal itu berlaku, kita hanya memikirkan diri sendiri dan kesakitan kita sendiri. Mungkin anda pernah mengalami keadaan ini. Mungkin anda telah terluka, lalu hanya duduk merajuk mengenangkan luka itu. Hal itu menimbulkan kepahitan dalam hati anda dan anda berusaha untuk menyembuhkan luka tersebut. Tetapi apabila hal ini berlaku, sering kali keangkuhan kitalah yang mendorong kita untuk mengubati luka hati melalui suatu bentuk pembalasan dendam, kemarahan atau rasa kasihan terhadap diri sendiri. Kita bahkan boleh memperdaya diri sendiri dengan berfikir bahawa keinginan kita untuk menyelesaikan masalah dan membebaskan diri daripada luka hati itu dibenarkan oleh Allah. Namun, jika anda rela membiarkan Tuhan menyelami rahsia terdalam jiwa anda, anda akan melihat bahawa dorongan anda dalam banyak perkara ialah keangkuhan anda yang terluka. Ini bukanlah penyelesaiannya. Yang diperlukan ialah Kerahiman. Kerahiman menyelesaikan setiap masalah. Pertama, anda mesti memohon Kerahiman daripada Allah, kemudian anda mesti memberikannya tanpa syarat kepada orang lain. Tiada jalan lain untuk menyelesaikan luka hati dan kekeliruan yang ada dalam jiwa anda. Ini suatu pengajaran yang sukar dipelajari, namun perlu (Lihat Buku Harian #958).
Apakah yang mendorong anda? Mungkin ada obsesi dalam diri anda yang seolah-olah tidak dapat anda singkirkan. Mungkin hal itu terus bermain dalam fikiran anda siang dan malam. Perhatikanlah hal ini dan kenal pastilah bahawa hal itu ialah dosa anda sendiri. Jangan teragak-agak untuk merendahkan diri sedalam-dalamnya dan jangan takut untuk mengakui tanggungjawab anda sendiri atas kesakitan yang anda rasai. Menuding jari kepada orang lain tidak menyembuhkan dan tidak menyelesaikan apa-apa. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya akibat keangkuhan kita. Menyedari hal ini merupakan rahmat daripada Kerahiman Tuhan yang penuh misteri dan tidak terselami.
Tuhan, aku tidak dapat menyingkirkan kemarahan, luka hati dan kesakitan yang kadangkala kurasai. Semuanya begitu membebankan dan menguasai seluruh diriku, halus dan memperdayakan. Namun, itulah dosaku, yang bersembunyi dalam diriku, menjauhkan aku daripada-Mu dan menghalang aku daripada bertaubat dengan sungguh-sungguh. Tuhan, aku benar-benar bertaubat dan aku merayu kepada-Mu agar Engkau merendahkan hatiku supaya aku dapat mengasihi-Mu dengan seluruh diriku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
1 Julai – Santo Junipero Serra, Imam—Peringatan Pilihan di Amerika Syarikat
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain




