Bahasa Melayu

Renungan 121: Taman Rahsia di Lubuk Hati Anda

Imej pixnio.com

Video

Bayangkan rumah anda mempunyai sebuah halaman dalaman yang tersembunyi, dan di situ terdapat sebuah taman.  Tiada sesiapa pun yang tahu tentang taman rahsia ini.  Di situlah anda menanam, menggembur tanah, membanting tulang, mencabut rumpai dan menuai.  Hasil taman ini kemudian diagihkan secara rahsia kepada ramai orang untuk menyuburkan dan menggembirakan mereka.  Inilah gambaran lubuk jiwa anda.  Rumah itu melambangkan seluruh diri anda.  Taman dalaman yang tersembunyi itu melambangkan lubuk jiwa anda yang terdalam dan rahsia.  Tukang kebun itu ialah Tuhan kita, dan Dialah yang masuk secara rahsia untuk menggembur tanah, menanam, mencabut rumpai, menumbuhkan dan menuai banyak buah baik yang terhasil daripada kehidupan anda.  Dia ingin masuk secara rahsia dan melakukan banyak pekerjaan dalam kehidupan anda tanpa diketahui sesiapa pun.  Jika anda membenarkan Dia masuk, hasilnya akan dirasai melalui limpahan keutamaan yang mempengaruhi kehidupan ramai orang (Lihat Buku Harian #581).

Adakah anda membenarkan Tuhan kita masuk ke dalam taman dalaman yang rahsia dalam jiwa anda sendiri?  Adakah anda membenarkan Dia bekerja dalam diri anda untuk menghasilkan tuaian yang berlimpah?  Pekerjaan yang ingin dilakukan-Nya dalam diri anda ini hanya dapat dilihat oleh anda.  Inilah rahsia suci rahmat yang berkarya dalam kehidupan anda.  Tuhan menawarkannya kerana kasih-Nya yang sempurna terhadap anda.  Katakanlah kepada-Nya pada hari ini bahawa anda akan membenarkan Dia masuk, kemudian biarkan diri anda menyaksikan Dia melakukan perkara-perkara yang menakjubkan di halaman dalaman ini, mengubahnya menjadi taman yang mengeluarkan hasil berlimpah-limpah.

Tuhan, aku melihat halaman ini dan menyedari bahawa halaman ini dipenuhi segala jenis rumpai.  Banyak pekerjaan yang perlu dilakukan.  Namun, pada hari ini, aku berkata “Ya” kepada-Mu.  Aku menerima karya kasih sempurna yang Engkau tawarkan kepadaku dan aku membalas-Mu dengan rasa syukur atas karya ajaib yang ingin Engkau lakukan.  Bantulah aku untuk bersabar dengan-Mu dan menyembah-Mu sementara Engkau menyediakan tanah, menanam keutamaan-Mu dan menghasilkan tuaian.  Aku bersyukur kepada-Mu, Tuhanku yang terkasih.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

1 Mei – Santo Yusuf Pekerja—Peringatan Pilihan

Doa-doa Musim Paskah

Renungan Kitab Suci untuk Musim Paskah

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini