Bahasa Melayu

Renungan 228: Kehadiran Allah yang Tidak Pernah Gagal

Foto oleh Shane Rounce di Unsplash

Video

Adakah Allah hidup dalam hidup anda?  Adakah Dia tinggal dalam diri anda?  Adakah Dia hadir di lubuk hati anda siang dan malam?  Hanya satu perkara yang dapat menyebabkan Allah meninggalkan anda, iaitu dosa berat.  Dosa berat ialah dosa yang membawa maut.  Dosa ini ialah suatu perbuatan yang dipilih secara bebas, yang melanggar Kehendak Allah dengan serius serta mencabuli martabat anda sebagai manusia dengan serius.  Apabila anda berdegil untuk terus berada dalam dosa sedemikian, Allah tidak dapat hadir.  Dia menantikan pertaubatan dan mencari peluang untuk kembali, tetapi tetap tidak hadir selagi dosa berat itu masih ada.  Namun demikian, hal ini sepatutnya memberi anda harapan kerana hal ini menunjukkan bahawa selagi anda menjauhi dosa berat, atau bertaubat daripada dosa berat yang telah anda lakukan, anda boleh yakin akan kehadiran Allah dalam hidup anda.  Anda mungkin tidak sentiasa merasakan betapa dekatnya Dia, tetapi Dia ada di situ, tinggal dalam diri anda.  Janganlah meragui kebenaran ini dan yakinlah sepenuhnya akan janji Tuhan kita yang mutlak dan tidak dapat ditarik balik ini (Lihat Diari #1181).

Renungkanlah hari ini kehadiran Allah yang hidup dalam hidup anda.  Dan jika anda tidak merasakan kehadiran-Nya, anda hanya perlu memeriksa hati nurani anda dan menilai sama ada anda berada dalam keadaan dosa berat.  Besar kemungkinan anda tidak berada dalam keadaan itu.  Jika ya, bertaubatlah dengan segera dan terimalah Sakramen Pengakuan Dosa.  Tetapi jika tidak, nyatakanlah iman anda akan kehadiran Allah dalam jiwa anda.  Bersyukurlah kepada-Nya kerana Dia hadir di situ walaupun anda tidak merasakan kehadiran-Nya.  Dan jika anda tidak merasakan kehadiran-Nya, yakinlah bahawa Dia ada di situ, tersembunyi dan berdiam diri atas sebab yang baik.  Allah lebih dekat dengan anda daripada yang dapat anda ketahui.

Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau hidup dalam hidupku dan tinggal di lubuk jiwaku.  Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau menyertaiku dalam segala hal dan tidak pernah meninggalkan aku.  Pada saat-saat aku tidak merasakan kehadiran-Mu, berilah aku iman untuk mengetahui bahawa Engkau ada di situ.  Dan penuhilah aku dengan kepercayaan yang teguh kepada tangan-Mu yang membimbingku.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

16 Ogos – Santo Stefanus dari Hungary
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Ahad

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini