Gambar oleh Robert Cheaib di Pixabay
Berdoa “sentiasa” mungkin kelihatan seperti sesuatu yang mustahil dilakukan. Benarkah kita dapat melakukannya? Adakah Allah benar-benar mengharapkan hal ini daripada kita? Sudah tentu kita dapat melakukannya, dan sudah tentu Dia mengharapkannya. Tidak, kita tidak akan dipanggil untuk menghabiskan sepanjang hari, setiap hari, dengan berdoa di gereja. Malah mereka yang dipanggil untuk menjalani kehidupan monastik dalam klausura pun tidak berbuat demikian. Namun, berdoa sentiasa adalah suatu kemestian. Ini hanya bererti bahawa kita telah membentuk kebiasaan untuk dekat dengan Allah sehingga hati kita sentiasa bersama-Nya. Kita sentiasa peka terhadap kehadiran-Nya dan sentiasa berada dalam persekutuan dengan rahmat-Nya. Jika kita memupuk kasih batin ini kepada Allah, kita akan sentiasa berdoa (Lihat Buku Harian #346).
Fikirkanlah tentang hari anda. Apakah yang paling banyak memenuhi fikiran dan hati anda? Adakah anda menghabiskan terlalu banyak masa berangan-angan tentang perkara yang tiada kaitan dengan Tuhan kita dan rancangan-Nya bagi anda? Berusahalah untuk membentuk kebiasaan berdoa. Berdoalah dengan mendalam dan sepenuh hati pada pelbagai waktu sepanjang hari, dengan memberikan sepenuh perhatian kepada doa. Kemudian, sepanjang hari, cubalah membiarkan saat-saat doa itu terus menguatkan dan menyertai anda, serta menopang anda dalam segala yang anda lakukan.
Tuhan, bantulah aku agar tahu bagaimana untuk berdoa. Tanamkanlah dalam diriku kebiasaan berdoa yang mendalam. Bantulah aku agar setiap hari aku meluangkan masa secara tetap untuk hanya menumpukan perhatian kepada-Mu dan mencari-Mu. Bantulah juga aku untuk membawa saat-saat itu ke dalam segala yang kulakukan supaya fikiran dan hatiku sentiasa berada dalam persekutuan dengan-Mu. Tuhanku, aku mengasihi-Mu, bantulah aku untuk semakin mengasihi-Mu. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Hari Ketiga Puluh Renungan:
40 Hari di Padang Gurun & 40 Hari di Kaki Salib
Meditasi Kitab Suci untuk Prapaskah
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain




