Bahasa Melayu

Renungan 208: Anak Panah Rohani Kerahiman

Mata Air Rahmat, oleh Lawrence OP, CC BY-NC-ND 2.0.

Video

Biasanya, anak panah melukai dan membunuh.  Sepanjang sejarah, anak panah telah digunakan untuk berperang dan berburu.  Namun, anak panah rohani kerahiman amat berbeza.  Ingatlah kata-kata Nabi Simeon kepada Bonda Maria yang Terberkati, “Dan jiwamu sendiri akan ditembusi sebilah pedang” (Lukas 2:35).  Dan ingatlah bahawa ketika Penyaliban, “Seorang askar menikam lambung [Yesus] dengan tombaknya, dan serta-merta darah dan air mengalir keluar” (Yohanes 19:34).  Sebilah pedang dan sebatang tombak menikam Hati Bonda Maria yang Terberkati dan Yesus.  Demikian juga hati kita mesti ditikam.  Namun, pedang, tombak atau anak panah yang mesti kita terima tidak akan melukai kita dengan cara yang memudaratkan jika diterima dengan cinta kasih.  Sebaliknya, hal itu akan membangkitkan kerahiman dan belas kasihan dari hati kita.  Dukacita dan kesakitan diubah dalam “luka cinta kasih” ini, dan luka itu mencurahkan kerahiman Allah melalui kehidupan kita (Lihat Diari #1082).

Renungkanlah dua perkara pada hari ini.  Pertama, renungkanlah luka-luka rohani dalam Hati Yesus dan Maria.  Selamilah misteri Hati mereka yang tertikam.  Cubalah memahami bahawa rahmat mengalir daripada tikaman-tikaman ini kerana tikaman-tikaman tersebut membangkitkan belas kasihan dan kerahiman terhadap mereka yang memerlukan.  Kedua, renungkanlah hati anda sendiri.  Renungkanlah apa jua luka yang anda tanggung dan bukalah diri untuk memahami bahawa luka ini dapat diubah.  Luka ini berpotensi untuk mengambil bahagian dalam kerahiman yang mengalir daripada Hati Yesus dan Bonda Maria yang Terberkati.  Bukalah diri untuk turut merasakan dukacita suci mereka atas dosa dan pupuklah belas kasihan terhadap orang berdosa.  Melalui tindakan ini, anda akan dilukai oleh anak panah rohani cinta kasih.

Tuhan, bantulah aku memahami misteri agung penderitaan yang ditanggung oleh Hati-Mu yang Mahakudus.  Izinkanlah aku melihat bahawa Engkau dengan rela menerima luka itu untuk mencurahkan kerahiman.  Bantulah aku juga menerima anak panah daripada orang lain supaya kerahiman-Mu dapat dicurahkan sebagai balasan.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini