Bahasa Melayu

Renungan 211: Dekat dengan Bonda Allah

Ratapan, oleh Gerard David

Video

Kasih seorang ibu boleh digambarkan sebagai “garang” dalam erti bahawa dia sanggup menyerahkan nyawanya demi melindungi anak-anaknya.  Naluri keibuannya timbul apabila anaknya berada dalam bahaya, menderita atau memerlukan pertolongan, dan dia langsung tidak memikirkan kesejahteraan dirinya sendiri demi melindungi anaknya.  Demikianlah juga dengan Bonda Allah.  Engkau ialah anaknya oleh rahmat dan menurut Kehendak Yesus, Puteranya.  Oleh itu, dia mendakapmu dekat di hatinya ketika engkau memerlukan pertolongan dan menaungimu di bawah mantel perlindungannya.  Kasih keibuan ini ditawarkan walaupun engkau tidak berada dalam bahaya, kerana penjagaannya sebagai seorang ibu tidak pernah goyah.  Dia membela engkau seperti tiada yang lain.  Dan dia bukan sahaja ibumu; dia juga Bonda Allah.  Sebagai Bonda Allah, dia memperoleh rahmat-rahmat istimewa bagi semua anaknya daripada Puteranya yang Ilahi.  Dia mengabulkan setiap permohonan Bonda-Nya bagi pihakmu dan tidak akan sekali-kali meninggalkanmu.  Tetaplah dekat dengannya, bernaung dalam pelukan Kerahimannya (Lihat Buku Harian #1097).

Sudahkah engkau membaktikan dirimu kepada kasih, penjagaan dan perlindungan Bonda Allah?  Jika belum, mengapa?  Apakah yang engkau tunggu lagi?  Adakah engkau keliru mengapa engkau patut mempercayakan diri kepada penjagaannya sebagai seorang ibu?  Allah berkenan menciptakan sebuah keluarga rohani yang penuh kasih, dan Dia mempercayakan penjagaan dirimu kepada Bonda-Nya.  Penjagaan seorang ibu merupakan unsur utama dalam aturan semula jadi yang dirancang Allah bagi umat manusia.  Oleh itu, wajarlah kita menyimpulkan bahawa penjagaan ini juga merupakan sebahagian daripada rancangan adikodrati-Nya bagi umat manusia.  Berpalinglah kepadanya sebagai ibu rohanimu dan percayalah bahawa Tuhan berkehendak untuk mencurahkan Kerahiman yang berlimpah-limpah ke atasmu melalui pengantaraannya.

Bonda yang terkasih, aku mengasihimu dan mempercayakan diriku kepada penjagaan keibuan dan doa pengantaraanmu.  Aku percaya bahawa engkaulah ibuku dalam tata rahmat dan bahawa engkau “penuh rahmat.”  Curahkanlah ke atasku Kerahiman keibuan yang ada dalam hatimu seraya aku menaruh kepercayaanku kepadamu.  Bonda yang terkasih, aku membaktikan diriku kepadamu.  Doakanlah aku.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

30 Julai – Santo Petrus Krisologus, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan Pilihan

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini