Bahasa Melayu

Renungan 266: Tawar Hati dalam Menghadapi Kekudusan

Imej melalui Needpix

Video

Adakah anda ingin menjadi orang kudus? Semoga jawapannya ialah “Ya.”  Tetapi bagaimana pula dengan soalan ini: Adakah anda fikir anda boleh menjadi orang kudus?  Soalan ini mungkin lebih sukar dijawab.  Memang mudah untuk mengimpikan kekudusan dan mendambakannya, tetapi apabila berhadapan dengan tugas untuk mencapainya, kita mudah menjadi tawar hati.  Perasaan tawar hati timbul apabila anda melihat betapa luhurnya panggilan kepada kekudusan lalu menyimpulkan bahawa anda tidak akan sekali-kali dapat mencapainya.  Anda mungkin terlalu tertumpu pada suatu kelemahan lalu berputus asa, dengan menyangka bahawa anda ditakdirkan untuk terus bersikap suam-suam kuku dan tidak lebih daripada itu.  Anda mungkin merasakan bahawa anda seorang yang baik dan itu sudah memadai.  Namun, Allah mempunyai rancangan yang besar untuk anda!  Dia bukan sahaja memanggil anda untuk menjadi orang kudus, malah Dia tahu bahawa anda boleh menjadi orang kudus.  Kuncinya ialah membiarkan Kerahiman-Nya menjadi begitu jelas bagi anda sehingga anda mula menyedari bahawa kekudusan dapat dicapai.  Kekudusan tidak dicapai kerana kita baik; sebaliknya, kekudusan dicapai kerana Allah maharahim dan kita telah memilih untuk menumpukan pandangan kita pada Kerahiman itu.  Jangan sekali-kali meragui kebenaran bahawa anda dipanggil untuk menjadi orang kudus dan bahawa anda juga boleh menjadi orang kudus (Lihat Buku Harian #1333).

Renungkanlah dua soalan ini pada hari ini.  Adakah saya ingin menjadi orang kudus dan bolehkah hal ini dicapai dalam hidup saya?  Kenal pastilah bagaimana anda menjadi tawar hati apabila memikirkan kekudusan.  Apa-apa pun yang menyebabkan anda tawar hati itu adalah palsu.  Itu bukanlah kebenaran.  Biarlah Kerahiman Allah terserlah di hadapan mata anda dan sedarilah bahawa anda mampu menerima Kerahiman-Nya.  Apabila anda terbuka untuk menerima Kerahiman Allah, anda akan memulakan perjalanan anda menuju kekudusan yang sejati.

Tuhan, aku sungguh ingin menjadi kudus berkat Kerahiman-Mu yang melimpah.  Bebaskanlah aku daripada pergumulanku dengan perasaan tawar hati dan bantulah aku untuk berharap pada kuasa-Mu yang dapat mengubah diriku.  Aku menyerahkan diriku kepada-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, dan aku percaya bahawa Engkau akan menjadikan aku orang kudus.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

23 September – Peringatan Santo Pius dari Pietrelcina, Paderi

Novena kepada Santa Thérèse dari Lisieux – Si Bunga Kecil
Hari Kedua – 23 September

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini