Bahasa Melayu

Renungan 187: Pelangi Selepas Ribut

Imej daripada pxhere,CC0

Video

Sungguh mengagumkan bagaimana alam ciptaan sendiri mewartakan kemuliaan Allah dan mengajar kita tentang hal-hal iman.  Ambillah pelangi sebagai contoh.  Pelangi itu cerah dan indah, berwarna-warni serta menimbulkan rasa kagum.  Semua orang bersukacita apabila melihat pelangi.  Namun, pelangi tidak akan wujud tanpa hujan atau ribut.  Begitulah kehidupan.  Kita akan melalui hari-hari yang baik diikuti hari-hari yang buruk, dan hari-hari yang buruk diikuti hari-hari yang baik.  Kita tidak seharusnya terkejut dengan mana-mana keadaan ini.  Pada hari yang baik dan penuh sukacita, kita harus bersyukur kepada Allah dan menyedari bahawa “pelangi” itu ialah suatu anugerah.  Kita harus menikmati anugerah itu sepenuhnya supaya kita dapat mengingatinya pada hari-hari yang buruk.  Apabila tiba hari yang buruk, kita harus bersyukur kepada Allah.  Kita harus bersyukur kepada-Nya kerana mengetahui bahawa keadaan ini juga akan berlalu jika kita sabar menantikan Dia.  Hidup penuh dengan suka duka, tetapi kerahiman Allah kekal abadi dan akan membimbing kita mengharungi segala sesuatu, sehingga kita dapat bersukacita setelah ribut berlalu (Lihat Buku Harian #992).

Renungkanlah hari ini perbezaan antara pelangi dengan ribut.  Bayangkan pelangi yang penuh dengan warna berseri-seri merentangi langit dari satu hujung ke hujung yang lain.  Pelangi itu indah dan membangkitkan semangat, membuat kita tersenyum dan bergembira.  Sekarang, bandingkannya dengan ribut yang mendahuluinya.  Di tengah-tengah ribut, kita tidak terfikir tentang pelangi yang bakal muncul.  Sebaliknya, tumpuan utama kita ialah mencari tempat berlindung.  Renungkanlah bagaimana hal ini mungkin serupa dengan kehidupan peribadi anda.  Apabila anda berasa sakit atau diasak pelbagai cabaran, adakah anda melarikan diri dan bersembunyi?  Anda juga harus mengingatkan diri bahawa setiap perjuangan mendahului munculnya pelangi.  Sentiasalah ingat akan berkat kerahiman Allah supaya berkat-berkat itu menopang anda setiap hari dalam mengharungi cabaran hidup.

Tuhan, bantulah aku agar pandanganku sentiasa tertumpu kepada-Mu.  Semoga aku tetap berpegang pada harapan dan sukacita di tengah-tengah setiap ribut kehidupan.  Ingatkanlah aku ketika aku berasa tertindas dan diasak bahawa keadaan ini juga akan berlalu, dan bahawa Engkau akan membawa perjuangan serta hidupku kepada kesudahan yang sempurna dan penuh sukacita.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

6 Julai – Santa Maria Goretti, Perawan dan Martir—Peringatan Pilihan

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini