Video
Ketakutan berpunca daripada pelbagai sebab. Apabila kita menyedari adanya ancaman serta-merta, rasa takut timbul secara mendadak sebagai suatu mekanisme pertahanan diri. Malah, hal ini boleh menyelamatkan nyawa anda jika, misalnya, ancaman serta-merta itu ialah sebuah kereta yang terbabas masuk ke lorong anda. Rasa takut yang mendadak mendorong anda untuk bertindak dan mengelakkan perlanggaran. Namun, ketakutan juga boleh berpunca daripada faktor-faktor lain yang tidak begitu serta-merta, yang kita alami sebagai ancaman terhadap kesejahteraan kita. Misalnya, seseorang mungkin bergelut dengan ketakutan terhadap kemerosotan ekonomi atau kehilangan keuntungan dalam perniagaan. Ketakutan itu mungkin berupa persoalan, “Bagaimanakah aku akan menyara keluargaku?” Atau seseorang mungkin mengalami masalah kesihatan, dan hal ini menyebabkan ketakutan tentang masa depan semakin meningkat. Dan senarai ini boleh berterusan. Walaupun sesetengah bentuk ketakutan itu sihat (mengelak untuk menghindari kemalangan kereta), kebanyakan bentuk ketakutan yang lain tidak demikian. Khususnya, apabila ketakutan menyebabkan keresahan dan kebimbangan sehingga seseorang hilang kepercayaan kepada Allah dan penyelenggaraan-Nya, hal ini menjadi suatu masalah. Tetapi jika Allah hidup dalam hati anda, berdiam dan meraja di situ, kehadiran-Nya menumbuhkan keyakinan dan kepercayaan adikodrati di tengah-tengah setiap perjuangan yang kita hadapi (Lihat Buku Harian #1001).
Renungkan ketakutan tertentu yang sedang anda hadapi sekarang. Apakah yang menyebabkan kebimbangan dan keresahan yang berlebihan? Apa pun puncanya, Tuhan mahu anda percaya kepada-Nya. Ya, rasa takut yang “suci” pada tahap tertentu dapat membantu kita menilai segala keadaan dengan betul serta bertindak dengan tekun dan bertanggungjawab, tetapi terlalu kerap, apa yang sebenarnya kita hadapi ialah kurangnya kepercayaan kepada Allah. Renungkan ketakutan dan kepercayaan anda, dan undanglah Kristus masuk lebih mendalam ke dalam hati anda agar kehadiran-Nya mengusir segala ketakutan yang sia-sia, sehingga anda dapat percaya sepenuhnya kepada pemeliharaan, penyelenggaraan dan Kerahiman-Nya.
Tuhan, aku sungguh percaya kepada-Mu. Bantulah aku untuk semakin percaya kepada-Mu. Aku menyerahkan kepada-Mu segala yang menggoda aku untuk berasa takut. Aku percaya akan kasih-Mu yang sempurna dan ingin bergantung sepenuhnya pada Kerahiman-Mu dalam hidupku. Hidupku adalah milik-Mu, ya Tuhan yang kukasihi. Perlakukanlah aku menurut kehendak-Mu dan bimbinglah aku sentiasa. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain





