Pengemis dengan Lira, oleh Svishchev-Paola
Bayangkan jika Yesus datang kepada anda dalam keadaan miskin, lapar dan kesejukan, lalu meminta anda menjaga-Nya. Pengalaman ini mungkin mengejutkan anda dan membuat anda tertanya-tanya sama ada orang ini benar-benar Yesus. Namun, Dialah Yesus. Yesus datang kepada kita setiap hari dalam diri orang yang memerlukan bantuan. Mungkin kita bertemu dengan seseorang yang tiada tempat tinggal, lapar dan memerlukan pakaian. Jika demikian keadaannya, maka orang itu ialah Yesus. Namun, ramai orang yang kita temui setiap hari mengalami kelaparan dan kehausan dalam bentuk yang berbeza. Ramai yang sangat mendambakan kasih, pengertian, belas kasihan dan perhatian. Dari luaran, mereka mungkin kelihatan tidak mesra, tetapi dalam diri mereka ada Tuhan kita, yang ingin menerima kerahiman daripada hati anda. Jangan teragak-agak untuk melihat Tuhan kita hadir dalam diri setiap orang yang anda temui. Limpahkanlah kerahiman hati anda kepada mereka, terutama jiwa yang paling menyedihkan keadaannya, dan dengan itu anda akan melimpahkan kasih anda kepada Yesus sendiri (Lihat Diari #1312).
Bagaimanakah anda memperlakukan orang miskin dan pengemis? Mulakan dengan memikirkan mereka yang mempunyai keperluan jasmani, tetapi renungkanlah dengan lebih mendalam semua orang yang mempunyai keperluan lain. Fikirkanlah orang yang keras hati, orang berdosa, orang yang angkuh, orang yang sombong, orang yang penuh dengan kemarahan, dan sebagainya. Setiap orang yang terlintas dalam fikiran anda ialah Tuhan kita yang datang kepada anda untuk merasai kerahiman hati anda. Apa sahaja yang anda lakukan kepada yang paling hina antara mereka ini, anda lakukan kepada Kristus. Adakah anda percaya akan hal ini? Jika anda percaya, maka kepercayaan ini mesti membuahkan tindakan nyata, iaitu anda menunjukkan kerahiman kepada semua orang, terutama mereka yang paling sukar anda kasihi. Renungkanlah persoalan praktikal ini hari ini dan bertekadlah untuk mencari Tuhan kita dalam diri “pengemis” seterusnya yang anda temui, walau betapa pun tidak menyenangkan penampilannya.
Tuhan, aku mengasihi-Mu dan aku sedar bahawa aku mesti mencari-Mu dalam diri setiap orang yang kutemui. Kurniakanlah aku mata untuk melihat-Mu dan hati untuk mengasihi-Mu. Ketika aku mengasihi-Mu dalam diri orang lain, ya Tuhan yang kukasihi, semoga kerahiman dalam hatiku membawa sukacita yang manis bagi-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain




