Santa Faustina diminta agar mendapatkan sebuah lukisan Yesus dengan sinar Kerahiman yang mengalir dari Hati-Nya. Dia berbuat demikian dan Yesus menegaskan kepadanya bahawa banyak jiwa akan tertarik kepada-Nya melalui gambar ini. Menarik untuk direnungkan betapa pentingnya gambar ini bagi Yesus dan Santa Faustina. Sesungguhnya, gambar ini mengungkapkan begitu banyak tentang Kerahiman yang mengalir dengan gemilang dari Hati-Nya yang terluka. Kita juga dapat memperoleh pemahaman yang mendalam dengan memikirkan hal ini secara lebih umum, iaitu bahawa apa-apa jenis gambar suci pun boleh menjadi sumber Kerahiman. Sebabnya ialah seni suci mempunyai bahasanya sendiri. Seni suci menyampaikan mesej Injil, dan merenungkan gambar suci membuka hati anda untuk mendengar Allah berbicara dengan cara yang baharu (Lihat Buku Harian #1379).
Renungkanlah gambar-gambar bertemakan Injil yang ada di rumah anda. Adakah anda mempunyai banyak gambar sedemikian atau hanya sedikit? Janganlah teragak-agak untuk memenuhi rumah anda dengan gambar suci yang mencerminkan mesej Injil. Selain itu, penting juga untuk meluangkan masa berdoa sambil merenungkan gambar-gambar ini. Luangkanlah sejenak pada hari ini untuk mencari gambar Kerahiman Ilahi yang diminta oleh Tuhan kita agar dilukis melalui Santa Faustina. Luangkan masa dalam keheningan untuk menatap dan “mendengarnya”. Apakah yang dikatakan oleh Allah kepada anda melalui gambar ini? Dia pasti akan menyampaikan mesej asas Kerahiman-Nya melalui sinar darah dan air yang memancar dengan gemilang dari Hati-Nya yang terluka. Sinar ini meliputi bumi dan menyinari anda siang dan malam. Namun, apakah lagi yang dikatakan oleh Allah kepada anda melalui gambar ini? Meluangkan masa untuk menatap gambar ini dan gambar-gambar lain dalam doa akan membolehkan anda mendengar Allah berbicara tentang misteri kasih-Nya.
Tuhan, aku tahu bahawa apa-apa gambaran tentang Engkau hanyalah setitis air berbanding dengan kenyataan yang sebenar. Bantulah aku dalam doaku agar ditarik masuk ke dalam kenyataan kasih dan Kerahiman-Mu yang sempurna ketika aku merenungkan kesucian yang dilambangkan oleh gambar-gambar suci. Semoga aku bertemu dengan-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, melalui khazanah seni dan rahmat ini. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Para Kudus Hari Ini – Santa Faustina Kowalska, Perawan
Beato Fransiskus Xaverius Seelos, Paderi
Langgan saluran YouTube kami!
Terima pemberitahuan tentang kandungan baharu.
Oktober ialah bulan Rosari Suci
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain





