Imej oleh Gerd Altmann di Pixabay
Apabila anda semakin dekat dengan Allah, ada kalanya anda akan mengalami pelbagai perasaan. Sesetengah orang akan berasa ditolak oleh Allah. Allah tidak pernah menolak kita, tetapi perasaan ditolak dalam batin itu boleh benar-benar dirasai. Hal ini menyebabkan sesetengah orang berputus asa. Jika anda mendapati diri anda, sekarang atau pada masa hadapan, bergelut dengan keputusasaan, janganlah takut dan janganlah mengalah. Biarlah Allah datang kepada anda dalam pengalaman itu dan hadir bersama anda ketika anda menanggung penderitaan tersebut (Lihat Diari #23).
Teruslah meneliti lubuk hati anda pada hari ini. Apakah yang anda lihat? Jika meneliti batin anda terasa menyakitkan, ketahuilah bahawa kesakitan ini ialah jalan menuju Allah. Hal ini mungkin sukar difahami dan sukar dilalui, tetapi Allah Bapa memilih jalan Salib bagi Putera-Nya. Dengan memeluk Salib-Nya secara lahiriah dan batiniah, Yesus menyatukan seluruh kodrat manusia dengan keallahan-Nya. Biarlah penderitaan anda menjadi sarana untuk mencapai kekudusan pada hari ini dan sumber kesatuan anda dengan Allah.
Tuhan, ketika aku terus meneliti lubuk hatiku, bantulah aku melihat diriku sebagaimana Engkau melihat aku. Bantulah aku memahami dan menangani segala kesakitan dan penderitaan yang kutanggung. Dan bantulah aku dengan rela hati menyatukan kesakitan batin itu dengan Salib-Mu, sebagaimana yang telah Engkau lakukan. Melalui tindakan ini, bantulah aku menemukan Kerahiman Ilahi yang telah Engkau peroleh bagi dunia. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
26 Januari: Santo Timotius dan Santo Titus, Uskup
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain




