Bahasa Melayu

Renungan 137: Kuasa dalam Salib

Imej daripada peakpx.com

Video

Apabila kamu berdoa, pernahkah kamu duduk dan merenung salib berpatung Kristus?  Dari sudut pandangan orang luar, salib itu merupakan suatu kenyataan yang membingungkan.  Mengapakah kita menjunjung tinggi dan menghormati peristiwa yang begitu mengerikan?  Pembunuhan kejam Putera Allah mungkin bukan sesuatu yang menarik hati kita pada mulanya.  Namun, salib itu mempunyai kuasa dan daya tarikan bagi mereka yang merenungnya dengan iman kerana salib itu bukan sekadar suatu pembunuhan yang mengerikan dan kejam, tetapi pertama-tamanya merupakan kemenangan sepenuhnya atas dosa dan maut.  Penyaliban Tuhan kita ialah tindakan kasih yang paling agung yang pernah dikenal, kerana melalui tindakan itu, Dia membinasakan maut dan dosa selama-lamanya bagi mereka yang berpaling kepada-Nya dengan penyerahan diri sepenuhnya.  Salib itu juga merupakan tanda bagi kita tentang pemberian diri yang dipanggil untuk kita hayati.  Kita masing-masing dipanggil untuk naik ke salib itu dan mati bersama Kristus, dengan memberikan diri kita kepada orang lain.  Sebab dengan mati bersama-Nya, dosa-dosa kita ditebus dan kita dapat mengambil bahagian dalam kemenangan Kebangkitan-Nya.  Merenung Penyaliban Tuhan kita mengubah diri kita kerana renungan itu membuka pintu-pintu Kerahiman yang diperoleh melalui tindakan kasih yang tidak mementingkan diri ini (Lihat Diari #681).

Cubalah berdoa di hadapan salib berpatung Kristus.  Cubalah duduk dalam keheningan sambil merenungnya.  “Merenung” lebih daripada sekadar “melihat.”  Apabila kita merenung, kita berusaha melihat melampaui gambaran yang kelihatan dan menyelami kasih yang membawa Yesus ke saat itu.  Kita melihat Allah yang kasih-Nya tidak terbatas, yang rela menempuh segala-galanya demi menyelamatkan kita daripada dosa-dosa kita dan mengasihi kita dengan kasih yang sempurna.

Tuhan, aku sungguh ingin merenung tindakan kasih-Mu yang sempurna dan melihat Hati-Mu yang melimpahkan Kerahiman ke atasku dan ke atas seluruh dunia.  Bantulah aku memahami anugerah Korban-Mu yang tidak terselami dan menghayati kesyukuran yang abadi atas anugerah ini.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persiapan untuk Pentakosta
Jumaat, 15 Mei – Sabtu, 23 Mei

Baca tentang Kenaikan Tuhan ke Syurga

Doa-doa Musim Paskah

Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain

Renungan Kitab Suci untuk Musim Paskah

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Pesta Hari Ini