Doa Terakhir Para Martir Kristian, oleh Jean-Léon Gérôme
Video
Mudah untuk “mengasihi” Allah apabila segala-galanya berjalan lancar. Namun, apabila segala-galanya berjalan lancar, kasih kita tidak diuji. Ujian yang datang melalui penderitaan manusia memperjelas kasih kita kepada Allah. Hal ini boleh membuahkan banyak hasil dalam kehidupan rohani kita. Mudah untuk menganggap bahawa kesulitan hidup tidak lain hanyalah beban yang menyedihkan dan malang, yang harus dielakkan dengan apa cara sekalipun. Walaupun sengaja mencipta kesulitan merupakan suatu kebodohan, setiap orang daripada kita tetap akan menghadapi kesulitan masing-masing dalam hidup ini. Oleh itu, setiap kesulitan dan penderitaan dalam hidup mesti diterima sebagai peluang untuk kamu semakin percaya kepada Allah dan, dengan berbuat demikian, semakin mengasihi-Nya. Betapa diberkatinya jiwa yang amat menderita dalam hidup ini, namun tetap memilih untuk mengasihi Allah sepanjang penderitaannya, lalu menjadikan penderitaan itu sumber pertumbuhannya dalam kekudusan (Lihat Buku Harian #1014).
Apakah yang kamu keluhkan setiap hari? Apakah yang membebankan kamu? Terlalu kerap kita melarikan diri daripada beban-beban ini atau menjadi marah. Cubalah melihat perjuanganmu dari sudut yang baharu. Cubalah melihatnya sebagai peluang untuk memperdalam kepercayaan dan kasihmu. Setiap penderitaan dan setiap beban dalam hidup berpotensi diresapi kuasa rohani Salib. Dengan menerimanya dalam kasih, kita memeluk Salib. Dan dengan memeluk Salib, kita semakin mengasihi Allah. Jangan menyangka bahawa kesusahan menjadikan mutu hidupmu rendah. Berkat rahmat, kenalilah hakikat kesusahan itu. Semuanya merupakan peluang untuk bertumbuh dalam kekudusan dan menerima Kerahiman Allah dengan lebih berlimpah.
Tuhan, apabila aku berasa sedih, marah atau berputus asa dalam hidup akibat kesulitan yang kutanggung, bantulah aku menggunakan perjuangan itu sebagai peluang untuk semakin percaya kepada-Mu. Tuhan, aku ingin berlari menuju Salib dan menerima kasih yang tercurah daripada Salib-Mu agar aku menjadi semakin menyerupai-Mu dalam segala hal. Tambahkanlah kasihku, ya Tuhan yang kukasihi, khususnya melalui setiap penderitaan hidup yang kuserahkan kepada-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
11 Julai – Peringatan Santo Benediktus, Abas
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain




