Bahasa Melayu

Renungan 248: Sumber Tanpa Had

Kristus di Rumah Simon Orang Farisi, karya Dieric Bouts

Video

Bayangkan jika anda menemukan sumber alam yang tidak terbatas dengan mencipta sebuah mesin yang menukarkan hanya sedikit oksigen menjadi tenaga tanpa had.  Anda hanya perlu menghidupkan mesin yang anda cipta itu, lalu tenaga pun terhasil tanpa henti.  Sungguh hebat ciptaan seperti itu.  Namun, sesuatu seperti ini memang wujud pada peringkat rohani.  “Oksigen” yang menggerakkannya ialah kesengsaraan dan dosa kita.  Dan “penjananya” ialah Hati Yesus.  “Tenaga” yang dihasilkannya ialah Kerahiman Allah yang tidak berkesudahan.  Sekiranya kita benar-benar memahami hal ini, dunia kita akan dilimpahi sumber adikodrati ini tanpa batas.  Kita mesti menyedari bahawa Allah mengubah kesengsaraan dalam hidup kita apabila kita mempersembahkannya kepada-Nya.  Sesungguhnya, inilah keinginan-Nya yang berkobar-kobar.  Hati-Nya rindu untuk mengubah kesengsaraan anda menjadi Kerahiman-Nya supaya hidup anda sendiri dipenuhi dengan berlimpah-limpah dan supaya, melalui anda, dunia juga dipenuhi dengan berlimpah-limpah.  Serahkanlah kesengsaraan dan dosa anda kepada Allah dan biarkan Dia mengubahnya tanpa henti (Lihat Buku Harian #1273).

Apakah pandangan anda tentang kesengsaraan dan dosa anda sendiri?  Adakah anda menyembunyikannya, menutupinya, mengabaikannya dan berpura-pura seolah-olah semuanya tidak wujud?  Adakah anda menjalani hidup dengan memberikan gambaran palsu bahawa hidup anda bebas daripada dosa dan kesengsaraan?  Ada yang berbuat demikian, manakala yang lain pula bersikap melampau ke arah yang bertentangan, tenggelam dalam rasa kasihan terhadap diri sendiri dan memperlihatkan kesengsaraan mereka kepada semua orang seolah-olah kesengsaraan itu suatu lambang kehormatan.  Kedua-dua pendekatan ini tidak membantu.  Satu-satunya pendekatan yang membantu ialah menyerahkan dosa dan segala kesengsaraan anda kepada Hati Yesus.  Anda boleh melakukannya.  Anda hanya perlu memilih untuk berbuat demikian.  Lakukanlah hari ini.  Mulakanlah tindakan penyerahan diri sepenuhnya ini dan anda akan menemukan kuasa ajaib dalam Hati Yesus yang mampu mengubah segala-galanya menjadi Kerahiman. 

Ya Hati Yesus, aku berlari kepada-Mu dengan kesengsaraan dan kesakitanku, dan aku menyerahkan dosaku kepada-Mu, ya Tuhan yang kukasihi.  Ubahlah semuanya menjadi Kerahiman-Mu, agar kurnia ini menjadi sumber rahmat yang tidak berkesudahan.  Yesus, aku menaruh kepercayaanku kepada-Mu.

5 September – Santa Bonda Teresa dari Kalkuta, Perawan

Lebih Banyak Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Injil Harian

Para Kudus/Perayaan Hari Ini