Imej daripada Pixabay
Apabila sebuah pasukan tentera dikepung, pasukan itu mencari tempat untuk mempertahankan diri. Kawasan yang lebih tinggi atau tempat yang memberikan naungan dan perlindungan segera dicari. Demikian jugalah seharusnya dalam kehidupan rohani anda. Apabila anda terkena panah si jahat, atau apabila kehidupan menjadi beban bagi anda, khususnya akibat dosa anda, carilah kawasan yang lebih tinggi dan tempat perlindungan yang paling teguh. Tempat ini ialah Hati Tuhan kita yang penuh kerahiman. Janganlah ragu-ragu bahawa Hati-Nya ialah tempat perlindungan bagi anda. Di dalam Hati-Nya anda akan menemukan keselamatan daripada pertempuran yang memenatkan, dan anda akan mendapati bahawa anda berada di dalam benteng Kerahiman yang diperkukuh. Aspek khusus Kerahiman ini, iaitu sebagai tempat perlindungan, mesti difahami dan disambut dengan hati terbuka. Kita tidak dapat menanggung kesusahan hidup dengan kekuatan sendiri. Kita tidak dapat mengharungi pertempuran hidup jika kita bergantung pada kekuatan dan kemahiran kita sendiri. Tiada sesiapa pun yang cukup berbakat untuk menangkis musuh yang mengamuk. Carilah perlindungan dalam Kerahiman Allah dan Dia akan melindungi anda daripada segala bahaya (Lihat Diari #1516).
Renungkanlah keperluan anda akan perlindungan. Dengan kekuatan sendiri, bersendirian di dunia ini, anda tidak akan dapat bertahan. Godaan, serangan dan kejahatan yang berleluasa di dunia ini akan membinasakan anda. Tetapi jika anda mempunyai benteng perlindungan, tiada apa pun yang akan memudaratkan anda. Perlindungan itu ialah Kerahiman Allah. Luangkan masa hari ini untuk merenungkan Allah dan Kerahiman-Nya sebagai benteng sedemikian. Pandanglah Dia sebagai pembela anda dalam segala hal dan berlarilah ke tempat yang selamat ini. Tuhan akan melingkungi anda dengan rahmat-Nya dan memelihara anda dalam kedamaian di dalam kediaman Hati-Nya.
Tuhan, apabila aku merasakan beban, serangan dan godaan dunia menimpa diriku, berilah aku kebijaksanaan untuk mencari perlindungan. Semoga aku berlari kepada-Mu dan bersembunyi di dalam Hati-Mu yang penuh kerahiman. Semoga aku tidak pernah meragui perlindungan-Mu yang sempurna dan sentiasa menemukan naungan dalam diri-Mu. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
10 November – Peringatan Santo Leo Agung, Paus dan Pujangga Gereja
Renungan Kerahiman Ilahi yang Lain
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa




